EPISOD 1
Seorang remaja berusia 17 tahun, Daim bin Yahya, ditahan atas tuduhan membunuh ibu serta teman lelaki ibunya. Memandangkan kes Daim masih dalam tempoh perbicaraan, Daim telah dihantar ke Sekolah Pemulihan Akhlak Wira Bakti (sebuah sekolah NGO) sehingga kes pembunuhan ibunya selesai dibicarakan.
Di sekolah tersebut, kita diperkenalkan kepada watak Warden sekolah tersebut, Encik Raja, yang tegas, Guard yang tiada belas kasihan, Tony, timbalan Warden, Cikgu Ariffin serta guru kelas mekanik, Cikgu Azmee. Selain itu, kita juga ada watak makcik kantin, Auntie, yang sentiasa ceria dan mesra dengan semua pelajar serta anaknya yang cantik, Nadia, yang meluat dengan kerenah para pelajar sekolah itu.
Sebaik sahaja tiba di sekolah itu, Daim yang memang pendiam orangnya terpaksa berhadapan dengan samseng-samseng yang diketuai oleh Botak dan kuncu-kuncunya. Beliau dipukul, dan dipaksa menjadi balaci (hamba) kepada Botak.
Mujur, dia berjaya mendapat seorang rakan baru bernama Apek, bekas pelarian dari sekolah tersebut, yang arif tentang selok belok sekolah tersebut dan menceriakan keadaan dengan telatahnya yang lucu. Watak Daim yang pendiam juga turut mendapat perhatian dari Nadia, yang merasai ada sesuatu yang berbeza dengan perangai Daim, seolah-olah dia memang tak bersalah.
Salah seorang pelajar yang baru masuk bersama Daim, Black, turut menjadi perhatian Botak dan kuncu-kuncunya. Kerana kelancangan mulut Black, mereka telah membelasah Black sehingga dia jatuh sakit. Akibat tidak tahan dengan rungutan Black yang merayu untuk dihantar ke hospital, Botak dan kuncu-kuncunya telah memaksa Black untuk memanjat pagar asrama, mengatakan kalau dia nak ke hospital, dia cuma perlu keluar dari sekolah itu. Ketika itu, Black tergelincir dan jatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan